Selasa, 17 Mei 2011

#14

Manusia bila dihidupkan akan punya kehidupannya sendiri. Dan takdirnya dipegang oleh Pencipta-Nya. Kau diberi nafas, kau diberi tempat berpijak, kau diberi segala-galanya melebihi kehidupan yang lain. Bila terciptanya warna putih pasti akan ada warna hitam. Dan bila dicipta nombor pastinya ada huruf abjad. Begitu juga pada manusia yang tuhan telah ciptakan mereka berpasangan.

Pada manusia telah ditutup hijabnya supaya mereka ini sentiasa terjaga pandangannya. Pandangan yang luar biasa. Tak terjangkau dari bayangan dek akal manusia. Dan bila tuhan telah memberikan kau seorang pasangan untuk dijadikan teman hidup. Jagalah dia semampu yang boleh. Pertahankanlah ketinggian mahkotanya selaku seorang wanita. 

Tuhan tidak pernah memaksa manusia untuk mematuhi segala arahannya. Tidak pernah tuhan sekali-kali berdendam pada makhluk ciptaan-Nya. Ketahuilah sesungguhnya tuhan itu Maha Penyabar lagi Maha Penyayang. Bila datangnya suatu kehidupan baru yang mana engkau perlu tempuhi bersama puterimu. Tempuhilah ia dengan ilmu dan amal yang penuh didada. Tidak akan tersungkur seseorang umat itu jika didalam hatinya penuh dengan kalimah Allah dan sunnah Rasulnya.

Dan haruslah kau bersyukur kerana kau telah diberi hadiah yang paling bernilai oleh tuhan. Jagalah tulang rusuk kiri kau itu. Tinggikanlah martabatnya setinggi yang kau mampu. Berikanlah perlindungan yang jitu kepada pasanganmu. Ajar dan bimbinglah dia ke arah kehidupan yang wahid. Berikan dia ilmu agama. Ajarkan dia bagaimana adab-adab yang perlu diketahui apabila berumah-tangga. Sesungguhnya itulah yang akan menguatkan ikatan tulang rusuk kanan dan tulang rusuk kirimu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan